Saturday, March 28, 2009

Operasi Mencari Dan Menyelamat Wartawan Sinar Harian Di Puncak Bukit Tabuh

Arkib.

Bukit Tabuh, Taman Melawati,


Bukit Tabuh
Hulu Klang
Ampang, Selangor
22 Feb 2009

Sekali lagi Bukit Tabuh, Hulu Kelang menjadi tumpuan anggota penyelamat.
Kali ini bukan operasi membawa turun mayat pendaki, atau mangsa yang cedera akibat terjatuh, atau gerakan mencari pendaki yang sesat/ hilang. Semuanya gara-gara

GAYAT… Kisah yang berlaku ini seharusnya memberi pengajaran kepada bakal pendaki atau pencinta alam yang kebanyakannya ghairah untuk melakukan aktiviti ini, tanpi tanpa sebarang persediaan walaupun perkara paling asas.
Dan seperti kes-kes terdahulu, ramai menganggap Bukit Tabuh atau ada yang memanggil Bukit Tabur, tidaklah tinggi mana. Ketinggiannya hanyalah 396 meter dari paras laut (1,300 kaki).

Kerendahan ini dipandang remeh oleh ramai pendaki yang akhirnya membawa musibah kepada mereka. Menurut rekod, tidak kurang 5 kematian di sini sejak kira-kira 10 tahun lalu, dan berpuluh lagi mengalami kecederaan, kebanyakannya cedera parah akibat terjatuh di lereng curam.
Bukit Tabuh merupakan bukit yang mencabar untuk di daki kerana bentuk mukabuminya yang curam, berbatu-batan, rabung yang licin serta mempunyai kira-kira 8 puncak untuk didaki. Kejadian terbaru berlaku apabila sekumpulan 12 pendaki melakukan pendakian kira-kira jam 10 pagi tadi. 3 dari mereka adalah lelaki, selebihnya wanita.

Semuanya berjalan lancar dan akhirnya mereka tiba di puncak bukit kira-kira jam 12 tengahari.

Bagaimanapun, ketika mula hendak turun dari puncak bukit, sesuatu yhang tidak dijangka berlaku.

Salah seorang dari mereka, Anita Hasan, 31 tahun gagal untuk turun apabila perasaan gayat mula timbul.

Beberapa kali cubaan untuk turun di kawasan curam itu gagal.
Keputusan kemudian diambil di mana 9 ahli kumpulan termasuk 3 lelaki turun dahulu, manakala Anita dan dua lagi rakannya, Norazidah Buang, 26 tahun dan Norfadilah Hassan 24 tahun akan cuba untuk turun kemudian. Setelah berputus asa, Anita mengambil keputusan menelefon talian kecemasan 999 untuk meminta bantuan. Hasil maklumat diberikan, sepasukan 15 anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia cawangan Kuala Lumpur dan polis dari balai Melawati bersiap sedia untuk operasi menyelamat. Kumpulan 3 pendaki terbabit akhirnya ditemui di puncak bukit dalam keadaan selamat kira-kira sejam kemudian. Usaha membawa turun ketiga-tiga mereka akhirnya menjadi lebih sukar apabila hujan lebat, ribut petir, kabus tebal menjadi halangan. Laluan yang curam dan licin juga menyebabkan penyelamat terpaksa berhati-hati membawa mereka turun. Tidak kurang juga, pacat…!!!

Dalam keadaan basah kuyup dan cuaca buruk itu, mereka akhirnya berjaya dibawa turun di kaki bukit jam 5-40 petang. Kaki Anita juga terseliuh dan diberi rawatan oleh anggota JPAM.

Anita merupakan wartawan meja Mahkamah akhbar Sinar Harian dan bertugas di ibupejabat Shah Alam. Dia mengikuti kumpulan terbabit setelah diajak rakan serumahnya.

Yang pasti, kumpulan terbabit tidak membuat laporan di balai polis sebelum memulakan pendakian. Apa yang menjadi persoalan di dalam kes ini ialah:

1. Mengapakah pendaki tidak pernah memikirkan kepentingan membuat laporan di balai polis sebelum memulakan sesuatu aktiviti?

2. Apakah gunanya 3 lelaki yang turut bersama di dalam kumpulan ini? Tidakkah mereka memikirkan untuk menjadi lebih bertanggungjawab dengan salah seorang atau dua dari mereka wajib bersama-sama kumpulan Anita yang mengalami masalah itu?

3. Semua bekalan makanan lebihan di bawa turun oleh kumpulan yang turun dahulu, tanpa memikirkan nasib rakan yang terkandas di atas bukit.

4. Pakaian yang digunakan ketika aktiviti mendaki juga tidak sesuai termasuk kasut dan beg yang dibawa.

5. Walaupun perhubungan telefon difahamkan ada antara kumpulan yang telah sampai di bawah dengan mangsa di atas, tetapi adakah sekadar cukup dengan perhubungan telefon. Akhirnya, semua caj bateri mereka kehabisan.

6. Sehingga operasi menyelamat selesai, tiada siapapun samada seorang atau beberapa orang dari ahli kumpulan yang turun dahulu, menunggu mangsa di kaki bukit sekurang-kurangnya memberi ‘moral support’.

7.Tiada peralatan asas yang berguna di saat-saat kecemasan sepeti tali di bawa.

8. 3 lelaki yang bersama dalam kumpulan yang turun terdahulu, seharusnya dipersalahkan dahulu jika apa-apa berlaku buruk berlaku terhadap ketiga-tiga mangsa di atas yang terkandas.

9. Walaupun kumpulan yang terkandas berkata, mereka sentiasa berhubungan dengan kumpulan yang turun terdahulu dengan telefon bimbit, tetapi ia tidak mencukupi jika hanya sekadar berhubungan tanpa memikirkan risiko yang terpaksa ditanggung jika berlaku apa-apa kepada mereka. Kepada kumpulan pendaki tegar yang dah beberapa kali naik ke Bukit Tabuh ini, jangan takbur, cakap besar dan berlagak seolah-olah anda dah amat pakar di laluan itu.

Sepanjang pengalaman lebih 10 tahun operasi menyelamat di sini, kebanyakan yang diusung turun samada mayat atau yang cedera, adalah mereka yang terlalu yakin dengan kemampuan diri dan akhirnya menyusahkan banyak pihak.

99 peratus dari mereka juga, langsung tidak pernah membuat laporan di balai polis sebelum masuk.

Tahniah Anggota JPAMWPKL.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails