Taman Melawati, Ampang,
Selangor
14 Oktober, 2008
Bagi kumpulan penuntut Institut Senilukis Malaysia atau Malaysian Institute of Arts , mendaki Bukit Tabuh di Empangan Klang Gate bukanlah sesuatu yang baru.Telah beberapa kali mereka mendakinya dan kedudukannya juga terletak tidak jauh dari kampus mereka di Taman Melawati.
Pagi tadi, kira-kira jam 7-30 pagi, lima dari mereka bercadang untuk beriadah sambil menikmati pemandangan Kuala Lumpur dari puncak bukit terbabit.
Pendakian pagi tadi agak sukar kerana cuaca yang sentiasa hujan menyebabkan laluan menjadi licin dan basah.
Dan seperti kebiasaannya, sepertimana pendaki-pendaki tegar lain, mereka tidak melaporkan aktiviti pendakian ke Balai Polis Taman Melawati kerana beranggapan tidak perlu.
Antara sebabnya, bagi mereka, Bukit Tabuh bukanlah bukit yang tinggi dan mampu sampai ke puncak dalam tempoh setengah jam jika melalui trek yang betul dan selalunya tidak pernah menjangkakan sesuatu yang buruk akan berlaku.
Malangnya, mereka tidak pernah mengambil iktibar tentang betapa banyaknya kes-kes kemalangan berlaku di lokasi yang sama setiap tahun dan ada yang membawa kematian.
Kira-kira jam 9-30 pagi, kumpulan lima penuntut terbabit hampir sampai di puncak.
Untuk melihat pemandangan arah Kuala Lumpur, mereka perlu menuruni tali arah ke sebuah lembah di mana tali panduan memang telah sedia dipasang oleh pendaki terdahulu.
Malang sekali, apabila ketika Lim Siew Ching, 21 tahun, tiba-tiba terlepas pegangan pada tali tersebut menyebabkan dia terus terhumban ke arah lembah.
Lim jatuh di atas rimbunan beberapa batang pokok sebelum terhempas ke atas batu pada ketinggian kira-kira 100 kaki atau kira-kira 30 meter.
Akibatnya, gadis terbabit cedera parah di kepala.
Lim juga pengsan dan tidak bermaya dan muntah darah.
Pendarahan yang banyak di kepala menjadikan keadaan bertambah genting apabila mangsa tidak dapat dikeluarkan oleh empat lagi rakan mereka kerana keadaan tebing yang curam dan merbahaya.
Situasi itu disedari dua pendaki suami isteri yang kebetulan melalui laluan yang sama dan bertindak menghubungi polis.
Polis kemudian meminta bantuan menyelamat dari Jabatan Pertahanan Awam JPA3 Kuala Lumpur.
Bertindak atas maklumat, operasi menyelamat dilancarkan serta-merta membabitkan 15 anggota penyelamat dan perubatan JPA3 dan 5 anggota polis Balai Taman Melawati.
Penyelamat tiba di lokasi kejadian kira-kira sejam kemudian, dan setelah melakukan rawatan, mangsa dibawa turun.
Walaupun menghadapi kesukaran, mangsa akhirnya selamat tiba di kaki bukit dengan dibawa menggunakan sebuah pengusung kira-kira jam 1 tengahari.
Lim dibawa ke Hospital Ampang Puteri untuk rawatan lanjut.
No comments:
Post a Comment