Sunday, March 29, 2009

Operasi Mencari Dan Menyelamat Tragedi Bukit Tabuh- 2 Doktor Pakar Maut

BUKIT TABUH TAMAN MELAWATI,

Ampang
Selangor
28 Mac 2009



Akhirnya, penemuan kedua-dua doktor pakar kanak-kanak yang dilaporkan hilang sejak Rabu lalu, sebenarnya membawa khabar sedih.
Mereka ditemui dalam keadaan menyayatkan hati - kedua-duanya ditemui mati di lereng bukit yang curam di Bukit Tabuh.
Mayat kedua-duanya ditemui kira-kira jam 2-15 petang oleh helikopter Unit Udara Polis yang kemudian memaklumkan kepada pusat operasi menyelamat.

Satu pasukan anggota bomba kemudian dikerahkan mendaki bukit yang kemudian menemui kedua-duanya dalam jarak kira-kira tujuh meter antara satu sama lain.
Dr Haliza Mohd Shafie, 53 dan Dr Amin Tai Abdullah @ Tai Yun Ming , 57, dipercayai mati sejak beberapa hari lalu berdasarkan keadaan mayatnya.
Mayat mereka berjaya dikeluarkan dari Bukit Tabuh menggunakan helikopter Bomba dan Penyelamat dan di bawa ke sebuah padang di Taman Melawati jam 3-30 petang tadi.

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Supritendan Amiruddin Jamaluddin, mangsa dipercayai tergelincir ketika cuba menyeberangi puncak bukit terbabit.
Mereka dipercayai terjatuh pada ketinggian lebih 100 meter menyebabkan kecederaan parah.
Saya merupakan wartawan pertama tiba di lokasi penemuan kereta Nissan Latio Dr Haliza di kaki Bukit Tabuh, sebaik mendapat maklumat.
Ketika sampai, telah ramai ahli keluarga mangsa berada di situ dan pelbagai agensi penyelamat termasuk Bomba dan Pertahanan Awam.
Sebuah helikopter Unit Udara PDRM juga terbang rendah berlegar-legar di udara.
Tiada siapa mengetahui status kedua-dua mangsa samada masih hidup atau sebaliknya.

Saya sempat berbual dengan beberapa ahli keluarga dan rakan mangsa.
Mereka amat baik dan bercerita mengenai kedua-duanya.
Semuanya kelihatan tenang dan menanti dengan penuh harapan berita selanjutnya.
Keluarga Dr Haliza dan Dr Amin Tai merupakan keluarga yang rapat sejak sekian lama.
Dr Amin memang dikenali sebagai seorang yang gemarkan aktiviti pendakian dan kegiatan lasak.

Bagaimanapun, perbualan terhenti apabila seseorang memberi peringatan supaya tidak memberi sebarang kenyataan kepada wartawan atas alasan bimbang bercanggah dengan kenyataan yang telah polis berikan.

Sebenarnya, bagi wartawan, berbual dengan ahli keluarga/saudara/rakan sebagai pelengkap berita kerana dari situlah kami akan mengetahui siapakah mangsa sebenarnya, anak berapa, pencapaiannya, permintaan terakhirnya, atau hobinya, atau makanan kegemarannya atau pesanan terakhirnya sebelum hilang.
Tiada istilah kenyataan bercanggah kerana kes sebegini, diklasifikasikan sebagai hilang/sesat berpandukan penemuan kereta dan operasi mencari dan menyelamat itu.
Sebenarnya, kami mendapat maklumat mengenai kes ini setelah IPD Ampang Jaya meminta bantuan media membuat hebahan mengenai kehilangan kedua-duanya setelah keluarga mangsa membuat laporan polis.
Polis turut mengedarkan foto kedua-duanya kepada media untuk disiarkan bagi memudahkan orang awam mengenalpasti jika terjumpa.
Dan, pada mulanya, perkiraan mungkin ada unsur jenayah seperti culik, tetapi setelah penemuan kereta di kaki Bukit Tabuh ini, dan ada pula maklumat, bahawa Dr Amin adalah seseorang yang gemarkan aktiviti pendakian, maka, dipercayai tiada unsur jenayah.
Kira-kira jam 1 petang, saya mendapat maklumat Unit Udara PDRM menemui mangsa di lereng bukit.
Tiada sebarang pengesahan status sebenar mangsa ketika itu dan saya percaya ramai yang beranggapan, mangsa masih hidup.

Sebaik mendapat maklumat itu, semua pihak kemudian beredar ke sebuah padang di Jalan F Taman Melawati, kerana difahamkan mangsa akan dibawa dari lokasi ditemui dengan helikopter ke padang terbabit.
Kawasan sekitar dan laluan di sini mula menjadi sibuk dan sesak dengan kenderaan sejak berita mengenainya tersebar.
Ambulan dari Hospital Ampang Puteri dan Hospital Ampang juga turut berada dengan puluhan kakitangan perubatan termasuk doktor dan jururawat serta pelbagai peralatan perubatan.
Dari pemerhatian, saya percaya mereka tidak dimaklumkan status sebenar mangsa kerana persiapan mereka seolah-olah untuk menerima pesakit yang akan dirawat dan untuk dibawa ke hospital.
Sebenarnya, satu kesan psikologi sementara akan bermain di kotak fikiran pihak yang tidak menerima maklumat terkini apabila memikirkan berkemungkinan mangsa masih hidup berdasarkan persiapan pihak perubatan di tepi padang.
Sila lihat foto-foto ini di mana pasukan perubatan telah bersiap-sedia dengan pelbagai peralatan
Atau ini mungkin prosedur/SOP sebenar dalam bidang perubatan, tidaklah saya ketahui…
Adalah keputusan yang sukar bagi pihak polis untuk mengkhabarkan berita sedih.
Bagaimanapun saya percaya ahli keluarga terdekat telah dimaklumkan mengenainya bagi mereka menghadapi situasi yang bakal mereka tempuhi .
Tepat jam 3-30 petang, helikopter Unit Udara Bomba mendarat di padang ini.
Mayat Dr Haliza dibawa turun dan ketika inilah suasana pilu dan sebak menyelubungi kawasan sekitar.
15 minit kemudian, mayat Dr Amin pula tiba dan dibawa turun dari helikopter.
Kedua-dua mayat kemudian dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.
Al Fatihah buat kedua-dua mangsa.

Tahniah Anggota Pasukan JPAMWPKL.

Saturday, March 28, 2009

Operasi Menyelamat Mangsa Jatuh Gaung.

Arkib

Ulu Yam,
Selangor
2 Disember, 2008

Ini merupakan hari pertama dia bertugas.

Tugasnya - membawa pelancong asing menikmati alam sekitar negara ini sambil melakukan aktiviti riadah.
Malangnya, petugas Persatuan Pencinta Alam, Malaysia Natures Society itu akhirnya terpaksa diselamatkan anggota penyelamat setelah terjatuh ke dalam gaung.
Dengan kecederaan di kaki dan tangan, Ng Poh Suan, 19 tahun, terpaksa menanti bantuan sampai untuk membawa dia keluar dan di bawa turun dari bukit.

Kejadian berlaku kira-kira jam 4 petang di kawasan Perkelahan Air Terjun Ulu Yam.

Ng bersama tiga lagi rakannya membawa dua pelancong wanita dari Eropah melakukan aktiviti ‘Canyoning’ di air terjun terbabit.

Bagaimanapun, mangsa dipercayai hilang imbangan sebelum tergelincir dan terjatuh ke dalam gaung.

Mangsa cedera di tangan dan kaki.

Bantuan kecemasan kemudian disalurkan oleh Pasukan Pertahanan Awam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang kemudian tiba di lokasi kira-kira sejam kemudian.

Operasi menyelamat turut diserta anggota perubatan Bulan Sabit Merah malaysia.

Mangsa akhirnya berjaya dinaikkan ke atas sebelum diusung ke bawah bukit kira-kira jam 6-45 petang.

Ng dihantar ke Hospital Selayang untuk rawatan lanjut.
Dan bagi kedua-dua pelancong wanita terbabit, walaupun mereka membayar pakej untuk menikmati aktiviti itu, namun membawa pulang ke negara mereka pengalaman menyelamatkan Ng


Tahniah Anggota JPAMWPKL.

Operasi Mencari Dan Menyelamat Wartawan Sinar Harian Di Puncak Bukit Tabuh

Arkib.

Bukit Tabuh, Taman Melawati,


Bukit Tabuh
Hulu Klang
Ampang, Selangor
22 Feb 2009

Sekali lagi Bukit Tabuh, Hulu Kelang menjadi tumpuan anggota penyelamat.
Kali ini bukan operasi membawa turun mayat pendaki, atau mangsa yang cedera akibat terjatuh, atau gerakan mencari pendaki yang sesat/ hilang. Semuanya gara-gara

GAYAT… Kisah yang berlaku ini seharusnya memberi pengajaran kepada bakal pendaki atau pencinta alam yang kebanyakannya ghairah untuk melakukan aktiviti ini, tanpi tanpa sebarang persediaan walaupun perkara paling asas.
Dan seperti kes-kes terdahulu, ramai menganggap Bukit Tabuh atau ada yang memanggil Bukit Tabur, tidaklah tinggi mana. Ketinggiannya hanyalah 396 meter dari paras laut (1,300 kaki).

Kerendahan ini dipandang remeh oleh ramai pendaki yang akhirnya membawa musibah kepada mereka. Menurut rekod, tidak kurang 5 kematian di sini sejak kira-kira 10 tahun lalu, dan berpuluh lagi mengalami kecederaan, kebanyakannya cedera parah akibat terjatuh di lereng curam.
Bukit Tabuh merupakan bukit yang mencabar untuk di daki kerana bentuk mukabuminya yang curam, berbatu-batan, rabung yang licin serta mempunyai kira-kira 8 puncak untuk didaki. Kejadian terbaru berlaku apabila sekumpulan 12 pendaki melakukan pendakian kira-kira jam 10 pagi tadi. 3 dari mereka adalah lelaki, selebihnya wanita.

Semuanya berjalan lancar dan akhirnya mereka tiba di puncak bukit kira-kira jam 12 tengahari.

Bagaimanapun, ketika mula hendak turun dari puncak bukit, sesuatu yhang tidak dijangka berlaku.

Salah seorang dari mereka, Anita Hasan, 31 tahun gagal untuk turun apabila perasaan gayat mula timbul.

Beberapa kali cubaan untuk turun di kawasan curam itu gagal.
Keputusan kemudian diambil di mana 9 ahli kumpulan termasuk 3 lelaki turun dahulu, manakala Anita dan dua lagi rakannya, Norazidah Buang, 26 tahun dan Norfadilah Hassan 24 tahun akan cuba untuk turun kemudian. Setelah berputus asa, Anita mengambil keputusan menelefon talian kecemasan 999 untuk meminta bantuan. Hasil maklumat diberikan, sepasukan 15 anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia cawangan Kuala Lumpur dan polis dari balai Melawati bersiap sedia untuk operasi menyelamat. Kumpulan 3 pendaki terbabit akhirnya ditemui di puncak bukit dalam keadaan selamat kira-kira sejam kemudian. Usaha membawa turun ketiga-tiga mereka akhirnya menjadi lebih sukar apabila hujan lebat, ribut petir, kabus tebal menjadi halangan. Laluan yang curam dan licin juga menyebabkan penyelamat terpaksa berhati-hati membawa mereka turun. Tidak kurang juga, pacat…!!!

Dalam keadaan basah kuyup dan cuaca buruk itu, mereka akhirnya berjaya dibawa turun di kaki bukit jam 5-40 petang. Kaki Anita juga terseliuh dan diberi rawatan oleh anggota JPAM.

Anita merupakan wartawan meja Mahkamah akhbar Sinar Harian dan bertugas di ibupejabat Shah Alam. Dia mengikuti kumpulan terbabit setelah diajak rakan serumahnya.

Yang pasti, kumpulan terbabit tidak membuat laporan di balai polis sebelum memulakan pendakian. Apa yang menjadi persoalan di dalam kes ini ialah:

1. Mengapakah pendaki tidak pernah memikirkan kepentingan membuat laporan di balai polis sebelum memulakan sesuatu aktiviti?

2. Apakah gunanya 3 lelaki yang turut bersama di dalam kumpulan ini? Tidakkah mereka memikirkan untuk menjadi lebih bertanggungjawab dengan salah seorang atau dua dari mereka wajib bersama-sama kumpulan Anita yang mengalami masalah itu?

3. Semua bekalan makanan lebihan di bawa turun oleh kumpulan yang turun dahulu, tanpa memikirkan nasib rakan yang terkandas di atas bukit.

4. Pakaian yang digunakan ketika aktiviti mendaki juga tidak sesuai termasuk kasut dan beg yang dibawa.

5. Walaupun perhubungan telefon difahamkan ada antara kumpulan yang telah sampai di bawah dengan mangsa di atas, tetapi adakah sekadar cukup dengan perhubungan telefon. Akhirnya, semua caj bateri mereka kehabisan.

6. Sehingga operasi menyelamat selesai, tiada siapapun samada seorang atau beberapa orang dari ahli kumpulan yang turun dahulu, menunggu mangsa di kaki bukit sekurang-kurangnya memberi ‘moral support’.

7.Tiada peralatan asas yang berguna di saat-saat kecemasan sepeti tali di bawa.

8. 3 lelaki yang bersama dalam kumpulan yang turun terdahulu, seharusnya dipersalahkan dahulu jika apa-apa berlaku buruk berlaku terhadap ketiga-tiga mangsa di atas yang terkandas.

9. Walaupun kumpulan yang terkandas berkata, mereka sentiasa berhubungan dengan kumpulan yang turun terdahulu dengan telefon bimbit, tetapi ia tidak mencukupi jika hanya sekadar berhubungan tanpa memikirkan risiko yang terpaksa ditanggung jika berlaku apa-apa kepada mereka. Kepada kumpulan pendaki tegar yang dah beberapa kali naik ke Bukit Tabuh ini, jangan takbur, cakap besar dan berlagak seolah-olah anda dah amat pakar di laluan itu.

Sepanjang pengalaman lebih 10 tahun operasi menyelamat di sini, kebanyakan yang diusung turun samada mayat atau yang cedera, adalah mereka yang terlalu yakin dengan kemampuan diri dan akhirnya menyusahkan banyak pihak.

99 peratus dari mereka juga, langsung tidak pernah membuat laporan di balai polis sebelum masuk.

Tahniah Anggota JPAMWPKL.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails