Tuesday, January 26, 2010

Jururawat Pelatih Sesat Di Bukit Awana Cheras

Bukit Awana
Kajang
Selangor
23 Jan 2010
9 malam





Kisah sesat kali ini membabitkan dua pelatih Kejururawatan Kolej Masterskill Cheras.

Asalnya, dua diselamatkan, akhirnya, menjadi 4...

Begini lebihkurang kisahnya.

Kira-kira jam 4-30 petang, 23 Jan 2010, dua sahabat ini teringin benar untuk memanjat Bukit Awana, tidak jauh dari asrama mereka.


Maka, mereka pun panjatlah bukit itu, dan berselisih dengan beberapa rakan yang baru turun.

Semua menasihatkan mereka supaya jangan turun terlalu lewat, kerana hari telah lewat petang.

Daki punya daki, akhirnya apabila hendak turun, hari sudah makin senja dan suasana telah gelap..


Mereka panik, apabila tidak menemui laluan turun, lalu menelefon rakan kira-kira jam 7-30 malam.

Jam 8 malam, polis dimaklumkan mengenainya, akhirnya, kira-kira 50 anggota penyelamat terdiri dari anggota polis Balai Bt 9, Jabatan Pertahanan Awam Kuala Lumpur dan Kajang dan Bomba dan Penyelamat Kajang melancarkan gerakan mencari dan menyelamat.

Bukit Awan tidaklah tinggi, kira-kira 500 meter ketinggian, tetapi agak curam dan hutan tebal dan mempunyai 'track' pendaki.


Anggota penyelamat kemudian berpecah dan mendaki bukit melalui dua laluan.

Jam 10-30 malam, akhirnya Aimi Anisa Abdul Rahman dan Wan Nor Ain Farhana Dollah, kedua-duanya 20 tahun, ditemui dalam keadaan kesejukan, letih, ketakutan dan menangis berhampiran puncak bukit dalam kegelapan malam.

Mereka kemudian dibawa turun melalui satu lagi laluan dan tiba di kaki bukit jam 12-15 malam.

Wan Nor Ain yang kekejangan otot dan kebas di kaki, terpaksa dibawa turun mengguna alat pengusung.


Tetapi, lain pula ceritanya, apabila dua rakan mereka, Siti Zulaiha Ibrahim dan Siti Sarah Kabri, 19 tahun yang turut menyertai pasukan penyelamat dalam kumpulan berlainan.


Setelah kedua-dua mangsa dibawa ke Pusat Perubatan UKM, satu lagi pasukan penyelamat terpaksa mendaki semula ke atas bukit apabila dua rakan mangsa tadi mengalami masalah.


Siti Zulaiha yang keletihan dan mengalami kekejangan otot dan kebas, terpaksa diberikan bantuan untuk turun.


Akhirnya, di pertengahan perjalanan, Siti Zulaiha dibawa turun menggunakan alat pengusung dan tiba di kaki bukit jam 2-30 pagi tadi.

Tak tahu nak ulas apa, tetapi yang pasti, walaupun bukit Awana ini rendah, amat-amat rendah, namun jangan dipandang remeh.


Maka, inilah yang terjadi jika tanpa sebarang persediaan, mendaki tidak mengira waktu, dan tiada bekalan makanan, air mencukupi, terus redah...

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails