Sunday, April 4, 2010

Pembonceng Maut, Penunggang Parah Digilis Kereta- Ambulan Tiba Lebih Sejam.


KM 17-4
Lebuhraya Baru Pantai
Petaling Jaya
3 April 2010
6-30 petang

PERHATIAN;
POSTING INI MUNGKIN KONTROVERSI ATAU MUNGKIN MENIMBULKAN RASA TIDAK SENANG HATI BEBERAPA PIHAK , TETAPI SEBENARNYA, KENA AKUI, BAHAWA BEGINILAH YANG TERJADI DALAM BEBERAPA KES.

Note: Anda boleh meujuk kepada entry ini bertarikh 23 Okt 2008

Lebih Sejam Menanti Ambulan - Akhirnya Mangsa Kemalangan Menemui Ajal...



"Kalau tidak, hari-hari , berduyun-duyun ambulan lalu. Hari ni, sebijik pun tak lalu..."

Itu yang kedengaran rungutan beberapa orang yang simpati dengan nasib mangsa kemalangan jalanraya ini.

Kejadian ini berlaku kira-kira jam 6 petang.


Lokasi kejadian di KM 17-4 Lebuhraya Baru Pantai NPE arah Kuala Lumpur berhampiran Taman Medan.

Dua sahabat, Faizul Majid, 22 tahun dan Norlaili Jamaludin 25 tahun menaiki motosikal, di mana Faizul dalam perjalanan menghantar Norlaili pulang ke rumah saudaranya tidak jauh dari tempat kejadian.

Setibanya di tempat kejadian, motosikal Faizul dipercayai gagal mengelak lalu merempuh sisi belakang sebelah kanan sebuah bas RapidKL yang diletakkan di tepi jalan.

Akibatnya, kedua-duanya tercampak ke atas jalan.

Malang sekali apabila sebuah kereta dipandu seorang lelaki berusia 55 tahun yang mengekori dari belakang, gagal mengelak.

Akibatnya, Norlaili digilis kereta terbabit dan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di muka dan badan.

Norlaili berasal dari Jalan Sawi 6, Yap Tau Sah, Kluang, Johor.

Manakala Faizul yang cedera parah, terbaring di atas jalan.

Faizul berasal dari Kemaman Terengganu, merupakan penuntut tahun pertama, Ijazah Sains Gunaan UITM Shah Alam.

Orangramai segera menelefon talian kecemasan 999 bagi bantuan ambulan untuk mengantar Faizul ke hospital.

Kawasan ini terletak di Petaling Jaya, dan Pusat Perubatan Universiti Malaya terletak tidak jauh dari lokasi, kira-kira 10 minit perjalanan.

Bagaimanapun, penantian orangramai seperti sia-sia apabila tiada kelibat ambulan yang muncul.

Ketika itulah, orangramai mula mengeluh dan kecewa kerana kebiasaannya, laluan ini merupakan antara laluan paling sibuk dan memang ambulan tidak putus-putus melalui laluan ini.

Namun, dalam tempoh sejam, kebetulan, tiada sebuah ambulanpun yang kebetulan melalui jalan ini.

Pegawai Penyiasat Trafik telahpun tiba di lokasi menjalankan siasatan, manakala Fairuz masih lagi terbaring kesakitan.

Akhirnya:

Jam 7 petang, sebuah kereta peronda polis yang tiba di lokasi, mengambil risiko menghantar Fairuz ke Pusat Perubatan Univeristi Malaya.

Jam 7-07 petang - mayat Norlaili dibawa dengan Land Rover polis ke PPUM untuk bedah siasat.

Jam 7-16 petang, kira-kira 1 jam 15 minit selepas kemalangan, barulah tiba sebuah ambulan, setelah 15 minit Fairuz dibawa dengan kereta peronda polis.

Dan yang mengejutkan orangramai, bukan ambulan dari PPUM yang tiba, sebaliknya ambulan dari Hospital Kuala Lumpur.


Menurut Ketua Trafik Selangor, Supt Che Hussin Omar, siasatan dilakukan di bawah Seskyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987, dan pemandu kereta terbabit telah membuat laporan polis bagi membantu siasatan polis.

Keterangan turut diambil dari pemandu bas RapidKL tesebut.

Tiada siapa yang tahu, di manakah kelompangan ini berlaku kecuali siasatan lanjut dijalankan.

Persoalan yang timbul di sini ialah, ke manakah panggilan ke nombor 999 itu sampai.

Dan, mengapakah ambulan HKL yang tiba, yang jaraknya begitu jauh malah boleh dikategorikan sebagai di luar kawasan yang tiba dan bukan ambulan dari PPUM.

Sejam 15 minit adalah satu jangkamasa yang terlalu lama malah boleh dkategorikan sebagai tidak lojik.

Jikalah diandaikan panggilan diterima kira-kira jam 6-15 petang, paling lambat, ambulan boleh tiba 30 minit kemudian jika mengambil kira ambulan dari HKL yang tiba, iatu tiba di lokasi kira-kira jam 6-45 petang.

Senario yang berlaku, (bukan kes ini tetapi secara umum) -

1. Pemanggil akan menelefon talian 999. Biasanya, beberapa orang akan melakukan panggilan, menjadikan pusat 999 akan menerima beberapa panggilan dari lokasi yang sama.

2. Operator di pusat kawalan 999 Telekom Malaysia akan menyalurkan ke Pusat Kawalan Kementerian Kesihatan di Jalan Cenderasari, Kuala Lumpur.

3. Pusat kawalan akan menyalurkan pula ke Hospital Kuala Lumpur untuk bantuan.

4. Di sini, beberapa senario akan berlaku - jika kemalangan berlaku berhampiran HKL, atau kawasan sekitar, ambulan akan segera keluar. Tetapi biasanya, HKL akan menyalurkan pula maklumat ke agensi lain seperti Bulan Sabit Merah Malaysia atau St Johns Ambulance dan mungkin juga kepada Jabatan Pertahanan Awam Malaysia.

5. Jika semua agensi yang dihubungi, ambulan mereka sedang dalam tugasan, maka, HKL akan keluar ke lokasi bergantung kepada samada ambulan ada di hospital atau tidak.

6. Dalam kes ini, ambulan HKL tidak sepatutnya mengambil kes ini kerana ia terletak begitu jauh, dan ia pula terletak di Petaling Jaya (luar kawasan)

7. Kes sepatutnya disalurkan ke PPUM kerana mereka lebih hampir.

8. HKL bagaimanapun, jika diandaikan sudah memaklumkan kepada PPUM, tetapi mungkin semua ambulan PPUM sedang melakukan tugasan lain yang tidak memungkinkan mereka segera ke lokasi.

9. Atau, berkemungkinan, HKL memang langsung tidak memaklumkan kepada PPUM untuk bantuan ambulan.

10. Jika diandaikan PPUM sudah dihubungi, tetapi semua ambulannya telah keluar, maka alternatif lain, HKL boleh meminta bantuan dari Pusat Kesihatan , yang terletak hanya beberapa minit perjalanan ke lokasi.

11. Bagaimanapun, tidaklah diketahui status Pusat Kesihatan samada beroperasi atau tidak semasa itu atau juga mereka keluar untuk kes lain.

12. Masa terus berjalan, tetapi pusingan untuk mendapatkan ambulan masih berlegar-legar di kalangan mereka yang bertanggungjawab, akhirnya jika mangsa terlalu kritikal, boleh membahayakan nyawanya.

13. Hanya mereka yang bertugas sahaja yang mengetahui apa yang berlaku sesama mereka sehinggakan kira-kira sejam masa untuk ambulan tiba.

14. Sebagai tanggungjawab sosial, dan mungkin pertimbangan paling halus yang mampu dibuat, akhirnya, mangsa di bawa dengan kereta peronda - dengan kemudahan siren, mangsa mampu tiba cepat ke hospital jika berlaku kesesakan jalanraya.

15. Pernah berlaku di Utara Semenanjung Malaysia beberapa tahun lalu, apabila pemandu ambulan sebuah hospital kerajaan , tiba di lokasi mendapati mangsa adalah anaknya sendiri yang akhirnya meninggal dunia kerana ambulan lambat tiba di lokasi. Tidak perlu saya ulas, tetapi mereka yang pernah berkhidmat dalam 'stand-by' tentu faham,tahu dan arif, berapa banyak masa dibuang untuk ambulan bergerak keluar dari hospital untuk ke lokasi kejadian.

16. Itu belum lagi, dari sumber yang boleh dipercayai ,sebagai amalan 'tolak-menolak' antara agensi sehingga akhirnya, masa yang begitu lama, barulah ambulan tiba.

17. Dan itu belum lagi, dari sumber yang rapat dengan senario ini, betapa, ada pusat kawalan atau hospital yang dipertanggungjawabkan, lebih mementingkan statistik / call-card kekerapan mereka keluar mengambil kes berbanding nyawa manusia itu sendiri, sehinggalah jika ahli keluarga mereka sendiri yang terbabit kemalangan, barulah mereka tahu, bahawa masa itu emas dan nyawa itu tiada galang gantinya...



1 comment:

CDFKUANTAN said...

faktor dan masalah sama juga berlaku di kuantan. pernah berlaku, AMBULAN JPAM UNIT OPERASI KUANTAN tiba di lokasi yang jaraknya cukup jauh iaitu 30km dari gerakan, namun apabila kami tiba dilokasi.ambulan hospital masih belum tiba. sedangkan mangsa yang terbaring sudah kering darah pada badan. dan lebih menyayat hati mangsa telah meninggal dunia ketika kami tiba. dalam zone kuantan cuma ada 2 jenis ambulan iaitu HOSPITAL DAN JPAM. namun POLIKLINIK dan KLINIK yang mempunyai AMBULAN ada 2 pada LALUAN KELOKASI..soalnya, kemana anggota dan ambulan mereka??.
LOGIK:
pemanggil akan menghubungi 999 dan mengambil masa 3 minit untuk mengambil laporan >> disambungkan kepada HOSPITAL BESAR >>> DISAMBUNGKAN KEPADA JPAM ATAU KLINIK BERHAMPIRAN

TIDAK LOGIK:
kes yang sama diberikan oleh orang awam kepada JPAM >> mengambil masa hampir 20 minit untuk ke lokasi >> orang awam di lokasi menyatakan ada yang telah menalifon ke talian terus HOSPITAL >> ada yang mengatakan telah MENGHUBUNGI 999 >> JPAM SAMPAI DULU..

LAGI TIDAK LOGIK :
bila AMBULAN KLINIK YANG JARAHNYA HANYA 10KM dari lokasi tiba sedangkan hanya memerlukan masa LIMA (5) minit..

hakikatnya:
NYAWA TIDAK MENUNGGU UNTUK HABIS apabila PENDARAHAN TERLALU BANYAK..

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails