Tuesday, February 16, 2010

Terkini : Sejam Tunggu Ambulans


Oleh Noor Hazwan Hariz Mohd

bhnews@bharian.com.my




NORHASYIMAH menemani suaminya, Irwan yang terbaring selepas terbabit nahas, manakala anggota peronda Lebuh Raya Kesas bertanya sesuatu sementara menunggu ambulans tiba.

Mangsa terbaring di tengah jalan hanya dihadang lori kontena, kereta polis

KLANG: Kepantasan unit bantuan kecemasan negara yang sering diuar-uarkan dalam media massa cepat tiba untuk membantu mangsa kemalangan selepas menerima panggilan kecemasan, hanya indah khabar daripada rupa.

Berbeza dengan apa yang didakwa, seorang penunggang motosikal terbaring di tengah jalan selama hampir sejam sebelum sebuah ambulans Persatuan St John tiba dan menghantar mangsa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini, dalam satu kejadian di Lebuh Raya Kesas kira-kira jam 9.30 malam kelmarin,


Apa yang dikesalkan, jarak perjalanan dari HTAR ke lokasi hanya mengambil masa 15 minit, sedangkan wartawan Berita Harian yang kebetulan melalui lokasi kemalangan terbabit ketika dalam perjalanan pulang dari HTAR, melihat sendiri sekurang-kurangnya lima ambulans berada di pekarangan unit kecemasan hospital itu dan tidak bergerak ke mana-mana.

Isteri mangsa, Norhasyimah Samsudin, 34, berkata mereka terpaksa menunggu kira-kira sejam di tengah jalan dengan hanya dihadang sebuah lori kontena dan kereta polis bagi mengelakkan dilanggar pengguna jalan raya lain.

Katanya, sebelum itu, beliau turut terjatuh dari motosikal ditunggang suaminya selepas dilanggar sebuah kereta.

“Saya berasa agak terkilan kerana suami terpaksa menunggu sehingga jam 10.30 malam selepas dilanggar kereta kira-kira sejam sebelum itu, baru sebuah ambulans tiba,” katanya ketika dihubungi di rumahnya semalam.

Katanya lagi, suaminya, Irwan Mahzan, 35, bernasib baik kerana hanya patah bahu kiri dan tidak mengalami kecederaan serius.

Beliau berkata, satu laporan polis membabitkan kejadian itu juga sudah dibuat kira-kira jam 11 pagi semalam.

Pemandu lori kontena yang tidak mahu dikenali berkata, kejadian itu berlaku apabila mangsa dilanggar sebuah kereta yang menukar lorong secara tiba-tiba.

“Saya terkejut melihat kedua-dua mangsa jatuh di hadapan lori saya dan terus memberhentikan kenderaan di tengah jalan bagi mengelakkan mangsa dilanggar kenderaan lain pula.

“Tetapi kami amat kecewa kerana bantuan sampai terlalu lambat, saya sendiri menelefon 999 sebelum disambungkan kepada sebuah hospital dan diberitahu semua ambulans sudah habis ditempah,” katanya ketika dihubungi.

Katanya, orang ramai yang berhenti bagi membantu mangsa turut menghubungi Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan agensi lain namun tidak ada satu pun yang datang, manakala mereka tidak berani mengalih kedudukan mangsa kerana khuatir menyebabkan kecederaan lebih serius.

Sementara itu, Pemangku Pengarah HTAR, Dr Mohamad A Majid, ketika dihubungi berkata pihaknya memandang serius perkara itu dan akan melakukan siasatan mengenai kelewatan bantuan terbabit.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails