Tuesday, April 7, 2009

Operasi Tanah Tebing Runtuh.

Lorong Jugra
Jalan Klang Lama
Kuala Lumpur
6 April 2009



Bagi penduduk Flet Sri Lempah, Lorong Jugra, Jalan Klang Lama, mereka kini dalam kebimbangan.
Hujan lebat yang turun hampir setiap hari, akhirnya menghasilkan satu tindakbalas pada tebing rumah flet mereka.

Satu runtuhan di kesan kira-kira jam 3 petang, hanya kira-kira lima meter dari flet terbabit.


Runtuhan sepanjang tiga meter ini menyebabkan berlaku runtuhan tebing pada ketinggian kira-kira 20 meter.

Apa yang membimbangkan, hujan yang dijangka turun lagi, menyebabkan rekahan dan rebakan semakin lebar dan boleh membahayakan struktur bangunan flet terbabit.

Skuad Penyelamat DBKL dan Penyelamat Jabatan Pertahanan Awam yang memantau keadaan mendapati, keadaan terkawal dan tidak membimbangkan.

Walaubagaimanapun, bagi penduduk, jaminan keselamatan amat diperlukan kerana mereka bimbang sesuatu yang lebih buruk mungkin boleh berlaku.

Flet ini didiami sejak lebih 25 tahun lalu dan dibina di atas sebuah bukit.

Adakah anda boleh tenteram tinggal di sini, jika situasi ini berlaku?

Monday, April 6, 2009

Operasi Menyelamat 30 Pelajar Cedera Kemalangan Bas Sekolah Terbalik.

KM6-7
Lebuhraya Hubungan Timur Barat
Taman Connought
Cheras
5 April, 2009



Kegembiraan sekumpulan pelajar yang baru selesai menghadiri seminar di sebuah universiti, berakhir dengan kisah malang menimpa mereka.
Kira-kira 30 orang dari mereka cedera dan mengalami trauma yang teruk setelah bas yang dinaiki terbalik.
Kemalangan berlaku kira-kira jam 7 malam tadi di kilometer 6-7 Lebuhraya Hubungan Timur Barat, berhampiran Taman Connought, Cheras.
Kumpulan pelajar terbabit, dari 2 buah sekolah di Kajang, berkonvoi sebanyak 4 buah bas.
Mereka baru selesai berseminar di Universiti Malaya dan dalam perjalanan pulang ke Kajang.
Setibanya di tempat kejadian, salah sebuah bas, dipercayai yang terakhir dari 4 buah bas terbabit, tiba-tiba gagal dikawal.
Ketika kejadian, jalan licin dan hujan turun renyai-renyai.
Bas yang dipercayai dipandu laju itu terbabas ke kiri jalan sebelum merempuh sebatang pokok dan berpusing ke arah bertentangan lalu terbalik.
Akibatnya, semua kira-kira 40 penumpang bas terbabit tercampak dan berhimpit di dalam bas.
Dalam keadaan panik, mereka terpijak dan terjatuh di atas rakan-rakan yang lain.
Mereka merupakan pelajar dari SM Jalan Bukit dan SM Convent, Kajang.
Orangramai yang kebetulan melalui jalan ini, membantu semua pelajar keluar melalui cermin hadapan yang pecah dan lubang udara di bahagian bumbung bas.
Anggota Penyelamat JPAM serta kira-kira 10 buah ambulan dari pelbagai agensi termasuk Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia, Hospital Ampang, Bulan Sabit Merah, Jabatan Pertahanan Awam dan St John Ambulans berulang alik menghantar mangsa ke dua buah hospital.
Mangsa dihantar ke HUKM dan Hospital Ampang.
Beberapa dari pelajar terbabit dipercayai mengalami kecederaan serius maanakala yang lain cedera ringan.
Pemandu bas bagaimanapun tidak ditemui di tempat kejadian, dipercayai melarikan diri.

Dan di ruang pemandu, turut ditemui tin minuman keras…
Kemalangan berlaku di lokasi sama di mana sebuah lori membawa muatan batu terbabas dari Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 ke arah laluan ini pada 1 Ogos 2008.
Dalam kejadian itu, dua terbunuh di tempat kejadian.

Sunday, March 29, 2009

Operasi Mencari Dan Menyelamat Tragedi Bukit Tabuh- 2 Doktor Pakar Maut

BUKIT TABUH TAMAN MELAWATI,

Ampang
Selangor
28 Mac 2009



Akhirnya, penemuan kedua-dua doktor pakar kanak-kanak yang dilaporkan hilang sejak Rabu lalu, sebenarnya membawa khabar sedih.
Mereka ditemui dalam keadaan menyayatkan hati - kedua-duanya ditemui mati di lereng bukit yang curam di Bukit Tabuh.
Mayat kedua-duanya ditemui kira-kira jam 2-15 petang oleh helikopter Unit Udara Polis yang kemudian memaklumkan kepada pusat operasi menyelamat.

Satu pasukan anggota bomba kemudian dikerahkan mendaki bukit yang kemudian menemui kedua-duanya dalam jarak kira-kira tujuh meter antara satu sama lain.
Dr Haliza Mohd Shafie, 53 dan Dr Amin Tai Abdullah @ Tai Yun Ming , 57, dipercayai mati sejak beberapa hari lalu berdasarkan keadaan mayatnya.
Mayat mereka berjaya dikeluarkan dari Bukit Tabuh menggunakan helikopter Bomba dan Penyelamat dan di bawa ke sebuah padang di Taman Melawati jam 3-30 petang tadi.

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Supritendan Amiruddin Jamaluddin, mangsa dipercayai tergelincir ketika cuba menyeberangi puncak bukit terbabit.
Mereka dipercayai terjatuh pada ketinggian lebih 100 meter menyebabkan kecederaan parah.
Saya merupakan wartawan pertama tiba di lokasi penemuan kereta Nissan Latio Dr Haliza di kaki Bukit Tabuh, sebaik mendapat maklumat.
Ketika sampai, telah ramai ahli keluarga mangsa berada di situ dan pelbagai agensi penyelamat termasuk Bomba dan Pertahanan Awam.
Sebuah helikopter Unit Udara PDRM juga terbang rendah berlegar-legar di udara.
Tiada siapa mengetahui status kedua-dua mangsa samada masih hidup atau sebaliknya.

Saya sempat berbual dengan beberapa ahli keluarga dan rakan mangsa.
Mereka amat baik dan bercerita mengenai kedua-duanya.
Semuanya kelihatan tenang dan menanti dengan penuh harapan berita selanjutnya.
Keluarga Dr Haliza dan Dr Amin Tai merupakan keluarga yang rapat sejak sekian lama.
Dr Amin memang dikenali sebagai seorang yang gemarkan aktiviti pendakian dan kegiatan lasak.

Bagaimanapun, perbualan terhenti apabila seseorang memberi peringatan supaya tidak memberi sebarang kenyataan kepada wartawan atas alasan bimbang bercanggah dengan kenyataan yang telah polis berikan.

Sebenarnya, bagi wartawan, berbual dengan ahli keluarga/saudara/rakan sebagai pelengkap berita kerana dari situlah kami akan mengetahui siapakah mangsa sebenarnya, anak berapa, pencapaiannya, permintaan terakhirnya, atau hobinya, atau makanan kegemarannya atau pesanan terakhirnya sebelum hilang.
Tiada istilah kenyataan bercanggah kerana kes sebegini, diklasifikasikan sebagai hilang/sesat berpandukan penemuan kereta dan operasi mencari dan menyelamat itu.
Sebenarnya, kami mendapat maklumat mengenai kes ini setelah IPD Ampang Jaya meminta bantuan media membuat hebahan mengenai kehilangan kedua-duanya setelah keluarga mangsa membuat laporan polis.
Polis turut mengedarkan foto kedua-duanya kepada media untuk disiarkan bagi memudahkan orang awam mengenalpasti jika terjumpa.
Dan, pada mulanya, perkiraan mungkin ada unsur jenayah seperti culik, tetapi setelah penemuan kereta di kaki Bukit Tabuh ini, dan ada pula maklumat, bahawa Dr Amin adalah seseorang yang gemarkan aktiviti pendakian, maka, dipercayai tiada unsur jenayah.
Kira-kira jam 1 petang, saya mendapat maklumat Unit Udara PDRM menemui mangsa di lereng bukit.
Tiada sebarang pengesahan status sebenar mangsa ketika itu dan saya percaya ramai yang beranggapan, mangsa masih hidup.

Sebaik mendapat maklumat itu, semua pihak kemudian beredar ke sebuah padang di Jalan F Taman Melawati, kerana difahamkan mangsa akan dibawa dari lokasi ditemui dengan helikopter ke padang terbabit.
Kawasan sekitar dan laluan di sini mula menjadi sibuk dan sesak dengan kenderaan sejak berita mengenainya tersebar.
Ambulan dari Hospital Ampang Puteri dan Hospital Ampang juga turut berada dengan puluhan kakitangan perubatan termasuk doktor dan jururawat serta pelbagai peralatan perubatan.
Dari pemerhatian, saya percaya mereka tidak dimaklumkan status sebenar mangsa kerana persiapan mereka seolah-olah untuk menerima pesakit yang akan dirawat dan untuk dibawa ke hospital.
Sebenarnya, satu kesan psikologi sementara akan bermain di kotak fikiran pihak yang tidak menerima maklumat terkini apabila memikirkan berkemungkinan mangsa masih hidup berdasarkan persiapan pihak perubatan di tepi padang.
Sila lihat foto-foto ini di mana pasukan perubatan telah bersiap-sedia dengan pelbagai peralatan
Atau ini mungkin prosedur/SOP sebenar dalam bidang perubatan, tidaklah saya ketahui…
Adalah keputusan yang sukar bagi pihak polis untuk mengkhabarkan berita sedih.
Bagaimanapun saya percaya ahli keluarga terdekat telah dimaklumkan mengenainya bagi mereka menghadapi situasi yang bakal mereka tempuhi .
Tepat jam 3-30 petang, helikopter Unit Udara Bomba mendarat di padang ini.
Mayat Dr Haliza dibawa turun dan ketika inilah suasana pilu dan sebak menyelubungi kawasan sekitar.
15 minit kemudian, mayat Dr Amin pula tiba dan dibawa turun dari helikopter.
Kedua-dua mayat kemudian dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.
Al Fatihah buat kedua-dua mangsa.

Tahniah Anggota Pasukan JPAMWPKL.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails